Tak Salah Beli Kereta, Tapi Ramai Tersalah Beli Kereta

Jika kita tersalah membeli kereta (tak mengikut keperluan mahupun kemampuan), kita akan terikat dengan satu liabiliti untuk jangkamasa yang agak panjang (minimum 5 tahun, maksimum 9 tahun sekiranya kita menggunakan pembiayaan kenderaan dari institusi-institusi kewangan).

Ramai anak muda tak dapat beli aset rumah kerana ratio hutang tinggi disebabkan loan kereta.

Kalau hendak dijual kereta pun, jumlah yang akan diterima balik selalunya akan kurang dari jumlah yang masih perlu dibayar semula kepada institusi-institusi kewangan.

Sebenarnya, tidak salah untuk kita nak beli kereta, jika kita mampu untuk membeli dan memastikan kenderaan kita dalam keadaan yang sempurna. Statistik telah menunjukkan bahawa pinjaman kenderaan adalah salah satu sebab utama orang muda telah mencapai status muflis (sila rujuk Jabatan Insolvensi Malaysia …..).

Tersilap perancangan kewangan, tersalah kira kemampuan untuk membeli kereta adalah antara sebab utama kenapa mereka berada dalam kesempitan.

Tujuan artikel hari ini adalah untuk mengupas tips-tips yang telah di’share’kan oleh pakar-pakar kewangan untuk tahu apa kereta yang sesuai berdasarkan kemampuan gaji kita.

  • Tips #1 :
    Gaji Bulanan x 12 bulan = Kereta yang kita mampu beli
Gambarajah di atas menunjukkan jenis kereta yang kita mampu beli berdasarkan gaji bulanan kita.

Contoh:
Kalau gaji RM 1,000 sebulan, kita sebenarnya layak untuk beli kereta berharga RM12,000 sahaja. Tiada kereta baru dalam pasaran dengan harga tersebut, pilihan yang ada beli kereta secara second-hand.

Mari kita teliti tips ini:

Gaji yang dinyatakan di atas, adakah gaji bersih atau gaji kasar? Sebab kalau gaji kasar, lepas tolak EPF dengan Socso, Gaji bersih yang tinggal dah kurang dari RM 900. Kalau begitu, adakah kita hanya mampu membeli kereta dengan harga RM900 x 12 bulan = RM10,800 sahaja.

Adakah kita perlu membeli kereta tersebut dengan tunai ataupun dengan menggunakan pinjaman?

Belian Secara Tunai
Kalau guna tunai, kita perlu masa lama untuk dapat beli kereta tersebut. Kalau gaji bersih RM900, kita mungkin hanya dapat menyimpan maksimum RM200 sebulan. Kalau kita laburkan duit simpan bulanan dalam ASB, pada kadar dividen 7.25%, kita hanya akan dapat mengumpulkan jumlah yang diperlukan selepas 4 tahun!

Belian Secara Pinjaman
Pengiraan Bayaran Bulanan Kereta adalah berdasarkan kadar interest 4% dan tempoh pinjaman selama 5 tahun. Bagi kereta harga RM10,800, kita perlu bayar RM216 sebulan selama 5 tahun untuk memiliki kereta tersebut.

Gambarajah di bawah menggambarkan secara kasar perbelanjaan bulanan kita di Malaysia (jika gaji kita RM900 sebulan dan memiliki sebuah kereta)

Persoalannya, berdasarkan gambarajah di atas, adakah kita betul mampu untuk membeli kenderaan tersebut?

  • Kita ambil lagi satu contoh, katakan gaji bersih kita RM6,000 sebulan, jadi kita mampu beli kereta berharga RM72,000 seperti Honda Jazz / Honda City dan sebagainya.
  • Pada kadar faedah 3%, tempoh pinjaman 9 tahun, kita perlu membayar sejumlah RM850 sebulan kepada institusi kewangan.
  • Kalau kereta besar, perbelanjaan yang lain mesti lebih tinggi. Minyak sebulan RM500, Tol kita anggarkan RM100 sebulan. Maintenance RM250 setiap 6 bulan, insurans dengan road tax RM3,000 setahun (tiada NCD).
  • Jumlah yang kita gunapakai untuk maintain kereta adalah RM1,741 sebulan (ini dengan tiada kos membaikpulih). Lepas tolak perbelanjaan kereta, duit gaji kita hanya berbaki RM4,258 sebulan untuk semua perbelanjaan yang lain.
  • Kata kita ada loan rumah RM2,000 sebulan (rumah harga RM400,000, kadar faedah 4.5%, tempoh pinjaman 35 tahun).
  • Baki duit kita dah tinggal RM2,258 sebulan untuk belanja yang lain seperti utiliti, persekolahan anak, tabung simpanan dan sebagainya.

Apa yang cuba diterangkan kat sini, tips yang diberikan di atas mempunyai kelemahannya tersendiri, dan diharap pembaca-pembaca tidaklah mengambil tips itu tanpa melakukan kajian yang lebih menyeluruh.

Secara kesimpulannya, kita kena ukur baju di badan sendiri untuk memastikan tahap kemampuan kita untuk membeli kenderaan. Tetapi jika tiada keperluan untuk membeli kenderaan baru, sebaik-baiknya kita elakkan.

Cara terbaik untuk anggarkan kemampuan kita beli kereta adalah dengan mengira kesemua perbelanjaan kita dahulu seperti tempat tinggal, makanan, anak-anak, simpanan atau pelaburan (minimum 10% dari gaji), insurans atau takaful yang mencukupi dan keperluan-keperluan lain.

Hanya selepas memgambil kira kesemua komitmen, kita akan dapat jumlah baki yang masih tinggal. Baki ni kita bahagikan dua, dan itulah jumlah yang kita boleh belanja untuk bayaran bulanan kereta. Yang lagi separuhnya itu adalah untuk jumlah maintain kereta termasuk minyak, tol dan sebagainya.

Wallah Wallam.

Kereta impian saya …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!