Penjelasan KWSP berhubung RM2,500 jika berlaku kematian

KUCHING: Tahukah anda bahawa waris keluarga terdekat bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menerima RM2,500 selepas kematian mereka?

Menurut satu e-mel yang menjadi isu panas baru-baru ini, ramai yang tidak mengetahui perkara tersebut, malah e-mel terbabit mendakwa wang sumbangan pihak KWSP itu mungkin akan diterima oleh orang lain.

“Menurut undang-undang, KWSP akan membayar RM2,500 kepada keluarga pemilik akaun yang telah meninggal dunia dan ia haruslah dituntut dalam masa enam bulan.

“Pihak KWSP tidak pernah memberitahu kami mengenai maklumat seumpama ini dan tidak ramai yang tahu akan kesahihan kenyataan ini,” kata e-mel itu.

Ia turut mempersoalkan ke manakah perginya wang RM2,500 bagi keluarga si mati yang gagal menuntut wang tersebut.

“Ke manakah perginya RM2,500 bagi keluarga si mati yang tidak hadir untuk menuntutnya? Adakah ke poket orang lain? Kita tidak tahu. Justeru, sebarlah mengenai maklumat ini kepada ahli keluarga, sanak saudara, rakan sekerja dan kawan-kawan anda.

“Biar mereka semua tahu akan maklumat ini dan jangan lupa untuk menuntut RM2,500 selepas kematian ahli keluarga kamu. Jangan sesekali biarkan ia jatuh ke tangan orang lain,” kata e-mel tersebut.

kwsp-1

Penjelasan dari KWSP

Menjawab perkara tersebut, Pengurus Komunikasi Korporat KWSP Ahmad Fauzi Kamruddin menjelaskan kandungan e-mel tersebut adalah tidak benar.

Memang benar pihak KWSP akan membayar wang sebanyak RM2,500 kepada keluarga si mati dengan tujuan untuk meringankan beban keluarga si mati, tetapi ia bukanlah dari akaun si mati, (sebaliknya) daripada KWSP sendiri.

“Bagaimanapun, sekiranya ahli keluarga pencarum tidak layak untuk menerima bantuan kematian tersebut, wang tersebut akan terus kekal untuk diagihkan kepada pencarum-pencarum sebagai dividen tahunan,” katanya dalam kenyataan kelmarin.

Ahmad Fauzi turut menjelaskan terdapat terma dan syarat bagi sesiapa sahaja yang ingin menuntut bantuan kematian tersebut dan ia layak diterima kepada pencarum yang ada meletakkan penama di bawah akaun pencarum itu sendiri serta dituntut sendiri oleh waris terdekat kepada si mati.

“Kelebihan wang bantuan kematian ini hanya akan dibayar mengikut terma dan syarat berikut iaitu pencarum hendaklah warganegara Malaysia, tidak melebihi usia 55 tahun semasa mati dan tuntutan bagi wang tersebut hendaklah dibuat dalam tempoh enam bulan selepas tarikh kematian si mati,” kata Ahmad Fauzi.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan semua pencarum KWSP untuk menghubungi pihak KWSP bagi mendapatkan maklumat yang tepat berkenaan dengan perkara tersebut dan tidak hanya menerima khabar angin di samping mengelakkan kekeliruan pada pencarum yang lain.

Antara ahli keluarga yang layak untuk menuntut wang bantuan kematian tersebut termasuk suami atau isteri si mati, anak-anak si mati dan ibu bapa kepada si mati.

Sekiranya penuntut wang bantuan tersebut merupakan ahli keluarga terdekat, mereka tidak perlu memohon. tetapi akan diberi faedah kematian secara automatik selepas memohon pengeluaran wang bantuan kematian tersebut.

Manakala, sekiranya penuntut bukan ahli keluarga terdekat, permohonan harus dibuat dalam tempoh enam bulan untuk menuntut wang bantuan kematian RM2,500 tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *