Dengan 5 langkah ini anak kita akan celik tentang duit

Zaman sekarang, semua benda pakai duit.

Dan kalau tak pandai uruskan ini dengan betul, kewangan korang ada potensi untuk sakit teruk.

Sebab itu, Tok selalu tekankan ibu bapa supaya mula latih anak-anak untuk ambil tahu pasal duit. Kita boleh je sediakan mereka awal-awal mengikut peringkat umur.

Kalau korang serius nak mulakan perkara ni, Tok sarankan baca perkongsian Janet Bodnar ni.

Beliau kongsikan 5 garis panduan ni untuk melatih anak korang celik kewangan daripada awal.

#1: Manfaatkan kuasa anda sebagai ibu bapa.

Dah tentu ibu bapa mainkan peranan penting (bukan media dan kawan-kawan ya) dalam mengajar anak-anak tentang duit.

Dalam satu kajian Bank of America dan USA Today, 58% responden setuju nasihat kewangan daripada ibu bapa mengajar mereka uruskan kewangan dengan baik.

Tapi, kajian T. Rowe Price pula buktikan sebaliknya. 72% ibu bapa agak berat nak bercakap pasal kewangan dengan anak-anak mereka.

Tok faham ramai yang tak yakin nak bercakap pasal topik ini. Ya lah, mesti ramai yang ingat kena keluarkan pelbagai statistik dan hebat dalam ilmu hisab.

Apa yang korang perlukan adalah confident boost.

Walaupun korang rasa tak berapa pandai pasal bab kewangan, hakikatnya, korang masih makan garam lebih awal berbanding mereka.

Dan ilmu ini, elok ibu bapa kongsikan kat anak-anak mereka. Gunakan contoh-contoh yang ringan, seperti:

  • bandingkan kelebihan jenama A dan B,
  • berapa banyak bajet yang dah ditetapkan untuk membeli-belah,
  • kenapa perlu menyimpan duit untuk masa depan, dan sebagainya.

Kalau nak hebat bab uruskan kewangan, kena belajar untuk pandai buat pilihan.

#2: Tak salah bertatih dulu.

Mulakan dengan perkara yang paling asas, dan mudah untuk mereka hadam.

Contohnya?

Katakan, mereka nak tahu pasal kad kredit. Apa idea utama kad kredit yang boleh kita jelaskan kat mereka?

Kita boleh bagitahu mereka, kad kredit ini adalah sekadar kad plastik saja. Dan ia bukan tempat kita dapatkan duit secara percuma.

Ia adalah loan, dan kita kena bayar balik apa yang bank pinjamkan. Oh, beserta faedah yang dikenakan bank kalau tak bayar dalam satu tempoh yang ditetapkan.

Senang kan anak-anak nak faham idea ini?

Bila mereka faham asas macam ini, boleh jadi mereka susah nak bergelumang dalam jerat hutang. Walaupun mereka belum cukup besar untuk baca perjanjian kad kredit kita.

Dan sampai waktu mereka tanya pasal pelaburan, elakkan guna jargon yang peningkan kepala mereka.

Buat ini mengikut peringkat umur. Paling bagus, mulakan sewaktu mereka mula masuk alam remaja.

#3: Padankan ilmu yang sesuai mengikut umur anak anda.

Tak salah didik anak-anak korang dari kecil. Biarkan mereka biasa gunakan duit.

Kalau ada mesin layan diri, suruh mereka masukkan duit untuk beli air atau coklat. Ini akan berikan idea kat mereka, yang duit boleh ditukar dengan barangan lain.

Semasa tadika, mereka akan mula belajar buat kira-kira (matematik) sehingga sekolah menengah atau universiti.

Selama tempoh ini, idea awal tentang duit itu akan berkembang mengikut segala ilmu lain yang mereka pelajari.

Dan ini bergantung kat peringkat umur mereka.

Bila mereka dah semakin dewasa, lebih senang untuk mereka fahamkan jargon berkaitan kewangan.

Masa ni, dah sesuai sangat bukakan satu akaun bank dan berikan elaun bagi melatih mereka uruskan duit dengan baik.

Selain itu, korang juga boleh bagi tanggungjawab uruskan kewangan sendiri. Contohnya, gunakan duit sendiri untuk beli baju, hiburan, dan bayar bil telefon.

Galakkan mereka untuk bekerja sewaktu cuti semester, dan nasihatkan mereka simpan duit itu untuk pelaburan masa depan.

Kalau korang latih anak-anak macam ni, In shaa Allah tenang sikit nak lepaskan mereka bila masuk kolej nanti. Paling kurang, dah tahu mereka bijak uruskan duit.

#4: Berterus-terang dengan anak anda.

Anak-anak korang perlu dengar korang katakan “tak boleh.” Ini supaya mereka faham yang tak mudah untuk dapatkan sesuatu.

Contohnya, anak korang merayu minta tolong belikan PS4. Padahal, PS3 dulu masih elok lagi. Tak usah takut nak cakap kat mereka “tak boleh”.

Dan kalau mereka betul-betul nak PS4 tu, gunakan duit mereka sendiri.

Dan korang tak payah nak malu-malu jawab soalan yang janggal, seperti:

  • berapa gaji mak / ayah sebulan?
  • berapa banyak hutang yang mak / ayah tanggung?
  • berapa banyak duit yang mak / ayah dah simpan?

Bila mereka masuk dunia remaja, lebih mudah korang nak kongsikan pasal kewangan secara lebih mendalam. Cuma, sentiasa letakkan pendapatan korang dalam konteks.

Mereka perlu tahu yang gaji bulanan akan ada potongan cukai dan simpanan persaraan.

Serta sedar tanggungjawab membayar gadai janji untuk rumah dan insuran kereta sebelum boleh membeli televisyen flat screen terkini.

#5: Jadikan diri sendiri sebagai contoh kat anak-anak.

Dengan bagi anak-anak mesej yang jelas dan korang sendiri praktikkan apa yang korang cakapkan, senang mereka nak jadikan korang sebagai mentor.

Macam mana nak ajar anak kalau ibu bapa sendiri tak betul, ye tak? Umpama ibu ketam yang nak ajar anak ketam cara berjalan yang betul.

Kalau buat idea ini dengan betul, tak mustahil keturunan korang terjaga dalam bab uruskan kewangan. Sebab korang awal-awal lagi dah terapkan ilmu ni.

Dalam kehidupan yang serba moden ni, mustahil kalau tak gunakan duit langsung untuk uruskan kehidupan harian.

Bermakna, skil uruskan duit dengan berkesan adalah aset yang wajib setiap anak-anak milenium ada.

Lagi awal korang didik anak korang pasal ni, semakin terbuka minda mereka tentang kepentingan menjaga kewangan dengan baik.

cropped-Picture3.png

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *